Jamie Carragher Dan Skuad England

Filed under: Liga England by: KakiBangku

jamiecarragher.jpg

Artikel ini telah ditulis oleh BobbyT, seorang peminat bola yang menyokong Newcastle United untuk pertandingan anjuran BorakBola.Net – Blog Bola Sepak Terbaik Anda. Anda bolehlah membaca nukilan BobbyT di http://bobbytoat.blogspot.com. Jika anda berminat untuk memenangi hadiah-hadiah menarik, sila baca syarat-syarat pertandingan kami di artikel ini.

Kenapakah Jamie Carragher tidak dipujuk kembali bermain untuk England?

Para penyokong kelab Liverpool sudah tentu tidak asing lagi dengan nama Jamie Carragher, beliau merupakan pemain England dan juga naib kapten pasukan Liverpool. Jamie Carragher boleh dikatakan pernah memenangi semua pertandingan kelab di England kecuali piala Liga Inggeris.

Walaupun Steven Gerrard terbukti jauh lebih popular berbanding Carragher di peringkat kelab dan negara, namun penyokong Liverpool sedar betapa pentingnya pimpinan beliau di benteng pertahanan Liverpool. Oleh sebab itulah, beliau diundi sebagai pemain tahunan Liverpool musim 2006-07 oleh para penyokong. Pada musim yang sama, Carragher telah mengumumkan keputusan untuk bersara daripada bermain untuk England. Beliau tidak berpuas hati kerana sering tidak diutamakan, malah diketepikan dalam pemilihan pasukan England walaupun dia mampu bermain di banyak posisi.

Saya secara peribadi percaya bahawa England tidak layak ke Euro 2008 kerana benteng pertahanan England pada masa itu yang sungguh lemah dan polisi Steve McLaren. Dua perlawanan kritikal yang menyebabkan England gagal melayakkan diri ke Euro 2008 ialah perlawanan antara Russia-England dan England-Croatia.

Dalam kedua-dua perlawanan tersebut, England kalah dengan perbezaan 1 gol yang tidak dijangkakan. Banyak kesilapan yang dilakukan oleh benteng pertahanan dalam kedua-dua perlawanan tersebut, yang paling ketara sekali ialah kesilapan yang dilakukan oleh Wayne Bridge, Joleon Lescott dan Scott Carson.

Mungkinkah England layak ke Euro 2008 jikalau Carragher dipujuk bermain di bahagian kiri pertahanan? Tiada siapa yang tahu, tetapi pada ketika itu, dengan kecederaan pada pemain penting pertahanan, John Terry dan Ashley Cole, saya yakin cuma Carragher dapat menggantikan tempat salah seorang daripada mereka. Namun, Steve McLaren tidak berfikir begitu, akhirnya terbukti pilihannya Wayne Bridge, Joleon Lescott dan Scott Carson semua gagal.

Sekarang Fabio Capello merupakan pengurus baru pasukan England. Capello terkenal suka bermain secara defensive. Banyak pengurus yang tahu bahawa pertandingan hanya dapat dimenangi dengan pertahanan yang kukuh. Lihatlah pasukan Greece dalam Euro 2006, pasukan Chelsea 2004-06 di liga Inggeris dan pasukan Itali di Piala Dunia 2006. Sepatutnya kalau Capello tidak ingin mengulangi kesilapan McLaren, beliau haruslah memujuk Carragher kembali bermain untuk England.

Pemain-pemain England, khususnya Gerrard juga harus meyakinkan Capello mengenai keupayaan Carragher. Kenapakah Carragher yang baru berusia 30 tidak dipujuk dengan lebih serius oleh pengurusan England? Dahulu apabila Paul Scholes bersara daripada England, dan setelah lama dia bersara, dia masih dipujuk berulang kali untuk kembali bermain untuk England. Kenapakah Carragher tidak diberi layanan yang sama dan diberi peluang sekali lagi, untuk dirinya sendiri dan juga untuk England?

Artikel ini telah ditulis oleh BobbyT, seorang peminat bola yang menyokong Newcastle United untuk pertandingan anjuran BorakBola.Net – Blog Bola Sepak Terbaik Anda. Anda bolehlah membaca nukilan BobbyT di http://bobbytoat.blogspot.com. Jika anda berminat untuk memenangi hadiah-hadiah menarik, sila baca syarat-syarat pertandingan kami di artikel ini.