African Cup 2008 Tournament Review

Baru-baru ini telah berakhinya pertandingan African Cup 2008 yang telah dilangsungkan di Ghana. Egypt muncul selaku juara, mempertahankan piala yang telah dimenangi pada tahun 2006. Pertandingan akhir antara Egypt dan Cameroon yang menghasilkan 6 biji gol(Egypt menang dengan 4-2) membuktikan African Cup mempunyai tarikannya yang tersendiri.
Dengan jumlah gol sebanyak 99 biji dalam 32 perlawanan dan hanya 3 ’sending off’ sepanjang pertandingan, Africa Cup 2008 telah berjaya menyajikan sebuah pertandingan yang penuh dengan tarikan kepada peminat bola seluruh dunia. Bukan itu sahaja, pertandingan ini telah membuka mata kelab-kelab besar apabila ramai pemain-pemain muda seperti Mohamad Zidan, Amr Zaki dan Manucho membuktikan yang pemain Afrika juga mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri.
Walaupun ramai yang meramalkan pertandingan bakal berlangsung antara Ghana dan Ivory Coast sebelum African Cup 2008 ini bermula, ternyata Egypt dan Cameroon membuktikan yang mereka kini adalah antara gergasi pasukan Afrika. Egypt berjaya menundukkan pasukan Ivory Coast yang membariskan nama-nama besar seperti Didier Drogba, Yaya Toure dan Koule Toure dalam perlawanan separuh akhir dengan menunjukkan keserasian bersepasukan adalah lebih penting daripada individu.
Manakalah Ghana selaku tuan rumah terpaksa tunduk kepada kehebatan pemain-pemain Cameroon yang diterajui pemain muda Arsenal, Alexandre Song. Song menampilkan kehebatannya apabila menguasai bahagian tengah semasa perlawanan separuh akhir menentang Ghana. Lawannya di bahagian ‘midfield’ bukan calang-calang pemain iaitu Michael Essien dan juga Sulley Muntari. Ketiadaan Song akibat kecederaan untuk perlawanan akhir boleh dikatakan antara punca kegagalan Cameroon bergelar juara.
Pemain-pemain utama kelab-kelab besar seperti Drogba, Kolo Toure dan Essien akan pulang ke kelab masing-masing dengan berakhirnya Piala Afrika 2008 minggu ini. Adakah mereka akan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan buat kelab selepas kepenatan mengharungi perlawananan demi perlawanan di bawah cuaca terik? Adakah mereka mampu menyesuaikan diri dengan pemain-pemain baru yang telah dibeli oleh kelab masing-masing semasa ketiadaan mereka?
Yang pentingnya pentas African Cup 2008 akan menaikkan lagi nama pemain-pemain Afrika yang tidak terkenal selama ini. Jangan terkejut apabila ‘transfer window’ dibuka nanti apabila nama-nama pemain yang telah saya sebutkan sebelum ini disambar oleh kelab-kelab gergasi bola sepak. Manchester United sendiri telah membuat pembelian pemain dari Angola iaitu Manucho sebelum bermulanya African Cup 2008 untuk mengelakkan harga yang tinggi selepas pertandingan tersebut.
Walaupun kurangnya pendedahan media terhadap African Cup 2008, daripada pembacaan saya menerusi media-media massa, pertandingan tersebut kali ini telah berjaya dianjurkan dengan baik oleh tuan rumah, Ghana. Tahniah diucapkan buat negara-negara yang terlibat dalam menjayakan antara pertandingan paling menarik setakat ini dalam sejarah bola sepak dunia.