Profile: Chris Kirkland

Filed under: Liga England by: Tristan

chriskirkland.jpg

Pada suatu masa, penjaga gol ini pernah diiktiraf sebagai bakal No. 1 England. Akan tetapi dengan kecederaan yang tak kunjung putus, tempat itu kini diisi oleh Paul Robinson, yang seperti pemain Tottenham yang lain, tidaklah sehebat mana.Kirkland menarik perhatian beberapa kelab terkemuka England dan Scotland setelah menampilkan persembahan yang memberangsangkan untuk Coventry di Liga Perdana musim 00/01. Liverpool pun membuat tawaran 10 juta pound untuk membelinya tepi Coventry menolak, menyatakan yang Kirkland merupakan tunjang utama pasukan tersebut.

Akan tetapi kegagalan Coventry mengekalkan kedudukan mereka di Liga Perdana menyebabkan mereka terpaksa menjual sebahagian aset mereka untuk menampung kos ‘revolusi’ di Coventry. Liverpool menyatakan yang mereka tidak lagi berminat untuk membeli Kirkland. Pembelian Jerzy Dudek untuk menggantikan Sander Westerveld mengukuhkan lagi pernyataan Gerard Houllier, pengurus Liverpool ketika itu. Taktik ini menjadikan nilai Kirkland merudum kepada 6 juta pound. Liverpool akhirnya membeli Kirkland beberapa hari sebelum musim 01/02 bermula.

Kirkland gagal menyingkirkan Dudek untuk menjadi penjaga gol utama Liverpool. Ketibaan Rafa Benitez memberikan sedikit harapan kepadanya. Benitez yang dikenali dengan sikapnya yang setia kepada pemain-pemainnya, terang-terang menyatakan yang Kirkland akan menjadi bintang England pada suatu hari nanti. Akan tetapi, dengan masalah kecederaannya yang berpanjangan, Benitez terpaksa membeli Jose Reina. Dirasakan pintu untuk dia menjadi penjaga gol Liverpool sudah tertutup.

Kirkland dipinjamkan ke West Bromwich pada musim 05/06 dan kemudiannya Wigan pada 06/07. Kejayaannya menamatkan 27 perlawanan Liga Perdana membuatkan Paul Jewell, pengurus Wigan ketika itu, menukar kontrak pinjaman kepada kontrak tetap. Menurut Jewell, potensi Kirkland masih ada, dan dia berharap Wigan akan memperoleh banyak manfaat dengan adanya Kirkland sebagai penjaga tiang mereka.

VN:F [1.8.5_1061]
Rating: 0.0/10 (0 votes cast)
VN:F [1.8.5_1061]
Rating: 0 (from 0 votes)

Kebangkitan AC Milan

Filed under: Liga Itali by: Tristan

ac milan rise again

Milan menyenaraikan ketiga-tiga bintang Brazil mereka. Kaka (Pemain Terbaik Dunia), Ronaldo (Bekas Pemain Terbaik Dunia) dan Pato (Bakal Pemain Terbaik Dunia?) diletakkan dalam kesebelasan utama semasa bertemu pasukan Campania yang baru dibentuk semula ini. Kemenangan 5-2 ke atas Napoli menjadi tanda-tanda awal kebangkitan Milan musim ini.Stadio Giuseppe Meazza gempita semasa Pato melangkah ke padang. Sambutan penonton untuk pemain ini diiktiraf sebagai yang kedua meriah dalam sejarah kelab tersebut. Sambutan paling meriah tentunya untuk Kaka, yang membuat penampilan sulung di Ancona beberapa tahun lepas. Walaupun baru setahun jagung (tak sempat ditinkan), Pato nyata punya mentaliti pemain professional dengan menyumbat gol kelima Milan. Teknik yang tinggi dan penuh tenang menolak bola ke gawang.

Permainan pertama Pato mengaburi persembahan dua lagi bintang Brazil Milan. Kaka (siapa tak kenal Kaka) yang merupakan antara pemian paling konsisten untuk Milan sepanjang musim ini menamatkan permainan dengan 1 gol. Ronaldo pula, yang menamatkan permainan dengan dua gol, mengakui yang 6 bulan yang terakhir ini merupakan saat yang paling mengecewakan baginya. Dengan gol-gol ini, dia berharap ini akan menjadi permulaan yang baru bagi dirinya.

Mampukah trio KaPaRo ini menjadi sebaik GreNoLi? Mungkinkah mereka mampu mengatasi kehebatan VanGuRi? Pastinya Carlo Ancelotti tidak mahu memberikan tekanan yang besar kepada bintang-bintangnya, tekanan kini nampaknya milik The Gunners yang akan bertemu Milan dalam persaingan Liga Juara-Juara.

Hmmm… nampaknya pemain paling penting Milan masih lagi Andrea Pirlo dan Paolo Maldini.

VN:F [1.8.5_1061]
Rating: 0.0/10 (0 votes cast)
VN:F [1.8.5_1061]
Rating: 0 (from 0 votes)

Liverpool, Kecoh Yang Tak Sudah

Filed under: Liga England by: KakiBangku

Apa nak jadi?
Apa nak jadi?
Kecohnya tak habis-habis lagi.
Apa nak jadi?

Lagu Dato’ SM Salim merupakan karya yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi yang sedang menimpa kelab bola sepak Liverpool buat masa ini. Dengan keputusan perlawanan yang kurang memberangsangkan, ditambah pula dengan situasi Rafael Benitez yang tidak menentu, nasib The Reds bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga.

Lebih malang buat Rafa apabila baru-baru ini pemilik kelab Anfield ini mengakui bahawa yang mereka baru-baru ini sudah membuat ‘contact’ dengan Jurgen Klinsmann. Walaupun dikatakan pertemuan dengan Klinsmann sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya Rafa disambar oleh kelab lain, ternyata nampak jelas betapa kurangnya sokongan dari pihak pengurusan kepada Rafa.

Adakah ini bermakna masa Benitez di Liverpool hanya tinggal sedetik dua? Adakah Tom Hicks(Chairman Liverpool) sudah jelek dengan teknik pengurusan Rafa? Adakah piala Champions League tidak mencukupi buat mereka? Mungkinkah pemain-pemain Liverpool sendiri sudah tidak yakin dengan Rafa?

Terlalu banyak persoalan dan konspirasi yang boleh ditimbulkan untuk kelab ini. Yang nyata, kedudukan Liverpool di tangga Liga England semakin lama semakin jauh dari pendahulu. Terbukti sekali lagi yang tahun ini bukan tahun Liverpool untuk menjuarai Liga England.

Apakah sebenarnya permasalahan Liverpool? Pemain-pemain yang kurang bermutu? Ini tidak mungkin. Kelab mana yang tidak gentar mendengar nama-nama hebat seperti Steven Gerrard, Fernando Torres dan Harry Kewell?

Pengurus yang tidak berpengalaman? Ini lagi tidak logik. Rafael Benitez telah membawa Liverpool menjulang piala Champions League dalam masa 3 tahun. Sebelum datang ke England, Rafa berjaya membawa Valencia memenangi Liga Spain. Pengurusan ternyata bukan satu masalah buat The Reds.

Jadi apakah punca sebenar permasalahan Liverpool? BorakBola.Net – Blog Bola Sepak Malaysia Terbaik Anda ingin membawa teori segala ini berpunca dari pengurusan tertinggi Liverpool sendiri. Apabila The Reds dibeli oleh Tom Hicks, janji-janji manis untuk ‘transfer fund’ yang banyak dan sokongan padu terhadap Rafa ternyata palsu.

Lihatlah betapa sukarnya Rafa Benitez untuk membeli seorang pemain apabila ‘January Transfer Window’ dibuka baru-baru ini. Walaupun dibekalkan dengan duit yang banyak semasa membeli Fernando Torres, pembelian pemain baru semenjak itu dilihat semakin sukar apabila Hicks dilihat cuba bermain tarik tali.

Kemungkinan besar Tom Hicks mempunyai perancangannnya yang tersendiri. Setiap manusia sudah tentu memiliki cita-cita dan impian sendiri. Buat Hicks, Rafa tidak dapat membantu dan tidak termasuk dalam plan untuk mencapai impian dirinya. Oleh kerana itu, Hicks kini sedang sibuk untuk mendapatkan khidmat pengurus baru sambil cuba mengeruhkan lagi hubungannya dengan Rafael Benitez.

Suka ataupun tidak, benci ataupun marah, peminat Liverpool sekarang sebenarnya hanya menunggu masa sebelum kehadiran pengurus baru di Anfield. Masa buat Rafa sudah tamat. Yang pastinya Tom Hicks mempunyai perancangan sendiri dalam membina empayar baru Liverpool.

Satu persoalan buat semua. Mampukah Liverpool, dengan perlantikan pengurus baru, kembali semua menguasai Liga England?

VN:F [1.8.5_1061]
Rating: 4.0/10 (1 vote cast)
VN:F [1.8.5_1061]
Rating: 0 (from 0 votes)

Selamat Tinggal Sam Allardyce

Filed under: Liga England by: KakiBangku

goodbyesamallardyce.jpg

 

Akhirnya masa Sam Allardyce ataupun lebih dikenali dengan Big Sam(mungkin kerana saiz badannya yang agak gempal) di Newcastle hanya mampu bertahan selama 8 bulan di Newcastle. Dengan tahun baru 2008 baru masuk 11 hari, Big Sam kini terpaksa mencari kelab baru untuk meneruskan kariernya di dalam dunia bola sepak.

Pemindahan dari Bolton ke Newcastle dilihat sebagai satu batu loncatan untuk Big Sam mengukuhkan lagi kariernya dalam bidang pengurusan. Sayangnya disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari buat bekas pengurus Bolton ini apabila pihak pengurusan Newcastle ternyata tidak mampu bertahan lagi dengan prestasi buruk kelab hitam putih ini.

Pemecatan ini berkemungkinan besar berpunca dari pemindahan saham milik Newcastle United dari Freddy Shepherd kepada Mike Ashley. Perlantikan Big Sam dilakukan oleh Shepherd pada bulan Mei 2007. Sayangnya kedatangan Mike Ashley yang membeli hampir separuh saham kelab tersebut menyebabkan penyingkiran Big Sam terjadi juga.

Mengapakah Mike Ashley mahu memecat Sam Allardyce? Jawapannya amat mudah iaitu untuk melihat kelab bola sepak Newcastle United bermain dengan lebih menarik. Mungkin anda semua sedia maklum bagaimanakah corak permainan Bolton di bawah kendalian Big Sam.

Dengan meletakkan ‘target man’ di jentera serangan, Bolton mengamalkan sistem ‘long ball’. Newcastle juga tidak terlepas dari corak permainan ini dan itulah punca pemecatan Sam Allardyce. Sudahlah menggunakan teknik permainan yang tidak menarik langsung, keputusan yang diperolehi juga tidak memenuhi ‘expectation’ awal musim.

Dengan Harry Redknapp dilaporkan sebagai nama calon yang paling sesuai untuk memegang kerusi pengurus Newcastle United, ternyata rekod Big Sam dalam dunia pengurusan bola sepak makin buruk akibat pemecatan ini.

BorakBola.Net – Blog Bola Sepak Malaysia Terbaik Anda hanya ada satu nasihat buat Big Sam jika dia membaca coretan ini. Cukup-cukuplah main ‘long ball’. Tak larat mata ini nak melihat cara tue. Buat-buat pikir teknik lain pulak. Takkan la mengurus lama-lama tahu satu cara je kot.

Selamat menyambut Tahun Baru Maal Hijrah.

VN:F [1.8.5_1061]
Rating: 0.0/10 (0 votes cast)
VN:F [1.8.5_1061]
Rating: 0 (from 0 votes)

Nicolas Anelka Ke Chelsea?

Filed under: Liga England by: KakiBangku

nicolas anelka to chelsea

Nicolas Anelka, penyerang utama Bolton Wanderers musim ini dilaporkan sedang menunggu masa untuk menyempurnakan pemindahan ke Chelsea. Dengan terbukanya ‘January Transfer Window’, Chelsea akan mengambil kesempatan untuk memiliki penyerang yang pernah beraksi untuk Arsenal dan Real Madrid.Dengan kelibat Drogba dan Salomon Kalou hilang untuk berbakti kepada negara masing-masing di African Cup, jentera serangan Chelsea nampak tidak berbisa. Ditambah dengan kecederaan kaki yang menimpa Shevchenko, Anelka dilihat sebagai pemain yang paling sesuai untuk mengemudi jentera serangan Chelsea.

Pernah beraksi untuk kelab-kelab besar, mempunyai rekod jaringan yang tinggi dan keinginan beraksi di kelab yang lebih berprestij dari Bolton, Anelka tentunya mengharapkan perpindahan ini dapat disegerakan secepat mungkin. Walaupun nilai 15 juta pound agak tinggi untuk pemain berusia 29 tahun ini, wang nampaknya tidak menjadi masalah buat kelab milik Roman Abromovich.

Memetik kata-kata pengurus Chelsea, Avram Grant:-

Kami sudah mengesahkan minat untuk membeli Anelka. Sepatutnya segala urusan jual beli sudah diselesaikan semalam (semasa perlawanan menentang Everton) tetapi kini kami berharap agar Anelka dapat beraksi untuk kami untuk menentang Totenham.

Rasanya Anelka kini hanya menunggu masa untuk menyarung jersi biru Chelsea. Mari kita tunggu bagaimana aksi pemain ini di bawah kendalian Avram Grant.

Apa pendapat anda semua?

VN:F [1.8.5_1061]
Rating: 0.0/10 (0 votes cast)
VN:F [1.8.5_1061]
Rating: 0 (from 0 votes)

Bola Sepak Dan Kehidupan

Filed under: Artikel Pilihan by: KakiBangku

 Xabi Alonso - Injury Problem For Liverpool

Apakah persamaan bola sepak dan hidup kita? Seringkali kita memandang rendah kepada pemain-pemain bola sepak apabila mereka melakukan kesilapan.

Kita ‘boo’ mereka sepuas hati bila gagal menjaringkan gol di depan gawang, kita ejek penjaga gol yang lepaskan gol mudah dan kita kutuk habis-habisan pemain-pemain yang berlakon untuk mendapatkan sepakan percuma.

Yang peliknya, kita sebagai manusia juga sering kali melakukan apa yang pemain bola sepak ini lakukan. Tak salah untuk menyatakan dalam kehidupan kita sering kali melakukan kesilapan.

Yang selalunya kita jarang sedar akan kesilapan kita.  Bak kata orang-orang tua, kuman di seberang laut nampak, gajah kat depan mata buat tak tahu aje.

Manusia seringkali nampak silap orang lain. Sebab itu pemain bola sepak sering kena kutuk. Sebab kita nampak apa kesilapan mereka di kaca televisyen. Malah kita boleh lihat aksi lakonan mereka berulangkali dengan adanya teknologi ‘replay’.

Kita juga sering kali berlakon dalam hidup. Tak begitu? Cuba kira berapa kali anda pendam perasaan untuk jaga hati kawan-kawan? Tak cakap perkara sebenar untuk mengelakkan perkara lebih buruk?

Berapa kali anda berbohong? Berapa kali anda main kayu tiga dengan awek sendiri? Berapa kali anda kutuk member anda kat belakang? Berapa kali anda tipu diri anda sendiri?

Bola sepak dan kehidupan. Sesuatu yang menarik untuk dikupas. Mungkin makan tahun jika kita mahu bandingkan satu demi satu.

Dan jangan lupa, dalam bola sepak ada juga saat-saat manis dan gembiranya.  Menjulang piala kemenangan seolah-olah sama dengan apabila kita mengecap kejayaan peribadi. Kadang-kala mengalirkan air mata untuk sesuatu yang bahagia juga penting dalam kehidupan kita.

Yang penting jangan jadikan diri kita bola itu sendiri. Disepak ke sana ke mari oleh orang lain. Sekurang-kurangnya kita masih ada maruah diri.

VN:F [1.8.5_1061]
Rating: 0.0/10 (0 votes cast)
VN:F [1.8.5_1061]
Rating: 0 (from 0 votes)

5 Pemain Bakal Menggegar 2008

Filed under: Artikel Pilihan by: KakiBangku

Dengan berakhirnya tahun 2007, 2008 menjanjikan pelbagai aksi menarik terutamanya dengan bersambungnya semula Liga Juara-Juara dan Euro 2008. Dengan 2007 menyaksikan kebangkitan pemain-pemain muda yang kurang dikenali, kini BorakBola.Net membawakan anda 5 pemain muda yang bakal memberikan impak maksima kepada dunia bola sepak di tahun 2008 ini.

Karim Benzema, 20 tahun, Penyerang, Lyon

karim benzema - pemain muda perancis

Penyerang Perancis ini dinamakan oleh Arsene Wenger sebagai ‘immense revelation’ apabila menjaringkan 12 gol dalam 16 perlawanan untuk kelabnya Lyon. Menjadi rebutan Real Madrid, Arsenal dan Manchester United, Benzema sudah pun mewakili Perancis di peringkat senior dan menjaringkan 3 gol dalam 8 perlawanan untuk Les Bleus.

Alexandre Pato, 18 tahun, Penyerang, Ac Milan

pato alexandro- the young ronaldo

Bayaran 15 juta pound telah dikeluarkan oleh kelab AC Milan untuk membeli penyerang muda yang digelar ‘The Duck’ ini. Walaupun tidak boleh membuat penampilan sulungnya sehingga 3 Januari baru-baru ini, kesanggupan AC Milan untuk membuat pembelian terhadap Pato ternyata berasas apabila pengurus Brazil(Dunga) menggelar pemain ini sebagai ‘The New Ronaldo’.

Sergio Agüero, 19 tahun, Penyerang, Atletico Madrid

sergio agueiro

Dengan pemergian Fernando Torres ke Liverpool, pemain muda Argentina ini mula menunjukkan belangnya apabila diberi peluang beraksi sebagai penyerang utama. Salah seorang pemain muda yang digelar ‘The Next Maradona’, Aguero sudah pun menjaringkan 12 gol untuk Atletico buat musim ini. Harga pemindahan sebanyak 15.75 juta pound dari kelab Independete nampaknya cukup berbaloi buat Atletico Madrid.

Breno, 18 tahun, Pertahanan Tengah, Bayern Munich

breno - the new bayern defender

Nilai 8.5 juta pound untuk seorang pemain pertahanan muda adalah amat tinggi. Namun begitu Bayern Munich tidak ragu-ragu mengeluarkan wang sebanyak itu untuk mendapatkan khidmat pemain muda Brazil ini. Telah mula beraksi sejak 1 Januari 2008 ini, Breno dianggap prospek yang amat berbakat besar oleh bekas pemain Brazil, Giovanni Elber.

Lucas Leiva, 20 tahun, Pemain Tengah, Liverpool

lucas leiva- the new liverpool midfielder

Inilah pemain muda yang menggantikan Steven Gerrard semasa perlawanan menentang Everton pada tahun 2007. Seangkatan dengan Anderson, pemain dari Manchester United, corak permainan pemain Brazil ini dikatakan serupa dengan Steven Gerrard. Sudahpun membuat ‘debut’nya untuk Liverpool pada tahun 2007. Tahun 2008 menjanjikan lebih banyak aksi menarik dari pemain ini.

Jika ada lagi pemain muda yang pembaca rasakan mampu menggegarkan lagi dunia bola sepak pada tahun 2008 ini, jangan segan-segan untuk berkongsi bersama kami.

VN:F [1.8.5_1061]
Rating: 0.0/10 (0 votes cast)
VN:F [1.8.5_1061]
Rating: 0 (from 0 votes)